Saturday, July 31, 2010
  |  Login
DAPAT Newsline * Shell Wujudkan Sistem Cegah Jenayah Di Stesen Miny

24 April, 2008

PETALING JAYA, 24 April (Bernama) -- Sistem cegah jenayah yang akan memberi isyarat kecemasan kepada polis akan dipasang di semua stesen minyak Shell di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Pengurus Jualan Nasional Shell (M) Sdn Bhd Shairan Huzani Husain berkata sistem yang telah diguna pakai di semua stesen minyak di Johor itu telah dapat mengurangkan kadar jenayah sebanyak 76 peratus pada 2006 berbanding tahun sebelumnya dan hanya empat kes yang dilaporkan berlaku di stesen minyak di negeri itu tahun lepas.

"Sistem itu akan memberi isyarat kecemasan kepada semua stesen jika berlaku rompakan atau kejadian yang tidak diingini di kawasan sekitar sebaik sahaja sesuatu kejadian itu berlaku," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Rakan Cop Bersama Shell di Bandar Utama di sini oleh Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.

Shairan berkata selain sistem itu, pihaknya juga turut bekerjasama dengan polis menjalankan program Rakan Cop di semua 500 stesennya di seluruh negara.

"Sekarang kita masih menggunakan sistem penggera. Apabila dah ada sistem ini, cuma dengan tekan butang sahaja isyarat akan sampai terus ke bilik gerakan polis.

"Di samping itu, sistem ini juga tidak mengeluarkan bunyi seperti sistem penggera kerana pencuri atau perompak akan cemas dan mudah melepaskan diri," katanya.

Sistem yang dibangunkan sendiri oleh Shell itu turut disokong dengan pemasangan sistem kawalan kamera litar tertutup (CCTV) di setiap stesen minyak.

Khalid berkata, program Rakan Cop yang dilancarkan hari ini meliputi lebih 280 stesen minyak Shell di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

"Dengan sistem yang dibangunkan ini, dalam tempoh lima saat maklumat kejadian akan terus disalurkan ke Rakan Cop dan di bilik gerakan polis sejurus petugas di stesen Shell menekan butang kecemasan.

"Dengan ini pihak polis dapat bertindak lebih pantas untuk memberikan bantuan dan stesen-stesen Shell yang lain akan lebih peka ke atas kejadian tersebut," katanya.

-- BERNAMA