PERKHIDMATAN SMS KERAJAAN SELURUH NEGARA
Kerajaan telah melancarkan inisiatif eKL pada bulan Mac 2007 sebagai penggerak kepada program penambahbaikan sistem penyampaian di kawasan Lembah Klang. Matlamat-matlamat eKL ialah untuk menjadi penggerak (push) ke arah pencapaian “delivering services through an integrated and connected Klang Valley”, serta memastikan pelaksanaan sistem penyampaian perkhidmatan agensi-agensi Kerajaan di kawasan Lembah Klang berlandaskan ICT yang efisien, berkualiti, selamat, mesra pelanggan serta mampu memberi impak tinggi kepada orang ramai.
Inisiatif Gerbang SMS adalah salah satu usaha kerajaan untuk mempelbagaikan saluran-saluran penyampai perkhidmatan. Kemajuan teknologi sedia ada dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan. Saluran SMS ini membolehkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan kerajaan dengan mudah dan cepat.
Untuk mencapai hasrat tersebut kerajaan telah membangunkan Gerbang SMS Kerajaan (Government SMS Gateway) yang akan menjadi Gerbang SMS semua perkhidmatan SMS kerajaan pada masa akan datang.
OBJEKTIF GERBANG SMS KERAJAAN
- Memanfaatkan teknologi SMS yang semakin meningkat serta memperluaskan akses kepada perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan kepada kumpulan sasar dengan mudah dan meluas;
- Mengenal pasti aplikasi yang boleh diketengahkan untuk disampaikan menerusi kaedah SMS; dan
Mencadang dan menggunakan pendekatan yang terbaik untuk melaksanakan kemudahan SMS dengan lebih cekap, murah dan berkesan
15888 UNTUK SATU NEGARA
Untuk menjadikan perkhidmatan SMS ini mudah digunakan, kerajaan telah menetapkan supaya satu nombor tunggal SMS diperkenalkan iaitu 15888. Pilihan nombor tersebut adalah tepat kerana ianya sangat mudah diingati.
Orang ramai hanya perlu mengingati satu nombor iaitu 15888 untuk mendapatkan seluruh perkhidmatan SMS kerajaan pada masa akan datang. Adalah dijangka terdapat 500 perkhidmatan SMS akan dapat dicapai melalui 15888 menjelang 2010.